Adakah salah pemain? Tewas Final Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024

 



Shah Alam: 

Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) iaitu Rexy Mainaky mengakui keadaan mental pemain negara goyah selepas terpaksa berhadapan dengan perubahan taktikal pada aksi final Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 ketika menentang China, semalam. 

Hal itu berlaku apabila dua tonggak perseorangan utama negara iaitu Lee Zii Jia dan Ng Tze Yong direhatkan akibat tidak berada dalam keadaan cergas sepenuhnya kerana difahamkan masing-masing mengalami kesukaran bernafas akibat resdung dan kecederaan belakang. 

"Memang ya (pemain rasa goyah melihat senarai pemain). Kita ambil contoh dalam bola sepak yang ada Cristiano Ronaldo atau Lionel Messi, apabila tiba-tiba tidak ada pasti ada kesan dan (berfikir) siapa mahu jaringkan gol.

"Perjalanan pentas akhir pasti ada tekanan kerana tidak boleh terlepas satu perlawanan (untuk sumbang mata) tidak kira perseorangan mahupun beregu supaya tidak sampai ke set penentuan. Kalau sudah sampai (set penentuan) kita boleh cakap segalanya tidak mustahil berlaku," katanya  kepada pemberita di Pusat Konvensyen Setia City di sini semalam.

Bagaimanapun, Rexy tetap memberi pujian kepada barisan negara terutamanya Leong Jun Hao yang menggalas tanggungjawab sebagai pemain perseorangan pertama dengan baik apabila berjuang bermati-matian hingga mata terakhir sebelum tewas di tangan Weng Hong Yan. 

"Saya lihat Jun Hao boleh ambil tanggungjawab (besar itu). Kita tak boleh cakap dia tak bagus sebab dia buat yang terbaik. Tiada siapa mahu kalah bermain di rumah sendiri dan pasti mahu jadi juara. Kita sudah berusaha beri yang terbaik (namun perlu akui) China lebih baik," katanya.

Pada aksi final semalam, hasrat skuad lelaki negara mempertahankan gelaran BATC pada edisi 2024 tidak kesampaian apabila tumpas 0-3 kepada skuad China. 

Pada perlawanan itu, Jun Hao yang berada di ranking ke-38 dunia tunduk kepada Weng Hong Yang, 19-21 dan 17-21, sebelum usaha pasangan juara dunia 2022, Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk memberi sinar harapan kepada kem badminton tidak menjadi apabila ditewaskan Xie Hao Nan-Zheng Wei Han, 16-21, 21-16 dan 21-23. 

Perseorangan kedua Eogene Ewe (ke-298 dunia) yang dipertaruhkan Malaysia selepas ketinggalan 0-2 terus mengikut rentak sumbang apabila mudah ditumbangkan Lei Lan Xi menerusi permainan straight set 10-21 dan 14-21. 

Dalam pada itu, Rexy mengakui barisan kejurulatihannya mempunyai banyak 'kerja' untuk membentuk pasukan mantap bagi menghadapi saingan Piala Thomas 2024 di Chengdu, China, April ini.




Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Ukuran Padang bola sepak adalah medium untuk anda bermain sukan nombor satu Malaysia

Melaka pilih K Devan untuk terajui Melaka FC