Lee Hup Wei meramalkan Malaysia menguasai semula acara lompat tinggi Asean
KUALA LUMPUR: Bekas atlet lompat tinggi negara, Lee Hup Wei membuat ramalan Malaysia akan kembali menguasai sukan lompat tinggi di peringkat Sukan SEA dalam tempoh lima tahun lagi.
Lee Hup Wei yang kini bertanggungjawab selaku jurulatih pelapis kebangsaan, berkata usaha sedang giat dijalankan bagi mencari jaguh-jaguh baharu dari seluruh negara untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
"Sebelum ini memang kita tiada atlet pelapis, jadi saya perlukan masa untuk menggilap bakat-bakat baharu.
"Sekarang kita sudah ada seorang atlet (Kuan Jhy Yunn) yang diserapkan dalam program pelapis di bawah MSN (Majlis Sukan Negara) tahun ini dan ada 10 atlet remaja di SSBJ (Sekolah Sukan Bukit Jalil).
"Ketika ini saya sedang menggiatkan lagi usaha untuk mencari lebih ramai atlet berbakat dengan kerjasama MSSM (Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia).
"Untuk kita menjadi kuasa besar semula di peringkat Asia Tenggara, kita perlu kumpulan bakat atlet baharu yang besar," kata Lee Hup Wei.
Menurut Lee Hup Wei, pelan jangka pendek ketika ini adalah untuk mempersiapkan dua atlet lelaki dan wanita bagi menggalas cabaran negara di Sukan SEA Bangkok 2025.
Malaysia sebelum ini adalah kuasa besar acara lompat tinggi di Sukan SEA dengan Lee Hup Wei dan seorang lagi bekas atlet negara, Nauraj Singh Randhawa berjaya menguasai acara itu sejak tahun 2007.
Lee Hup Wei memenanginya sebanyak empat kali bermula 2007 di Manila, 2009 (Vientiane), 2011 (Palembang) dan 2019 (Filipina) manakala Nauraj merekodkan kejuaraan pada 2013 (Napyidaw), 2015 (Singapura) dan 2017 (Kuala Lumpur).
Bagaimanapun, penguasaan Malaysia berakhir selepas Nauraj sekadar meraih perak di Hanoi, Vietnam dua tahun lalu.
Pada edisi terakhir di Kemboja, tahun lalu, emas menjadi milik atlet Thailand, Tawan Kaeodam.
Ulasan
Catat Ulasan